fbpx

Lelaki mengaku tak salah pecah amanah wang syarikat RM204,603

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini.

SEBERANG PERAI – Seorang pembantu kedai didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang hasil jualan syarikat berjumlah RM204,603.60, Jun tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Rizal Zainal Abiddin, 31, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu merupakan pengurus stor didakwa telah melakukan pecah amanah iaitu dengan curangnya telah menggunakan wang hasil jualan pelanggan berjumlah RM204,603.60 yang diamanahkan untuk kepentingan sendiri.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Bagan Ajam, Taman Bagan Ajam, Seberang Perai Utara, kira-kira pukul 3.40 petang, 23 Jun 2023.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dengan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Nada Harun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan memohon jaminan dikenakan sebanyak RM50,000 namun tertuduh dalam rayuannya memohon supaya jumlah tersebut dikurangkan disebabkan hanya bekerja sebagai pembantu kedai.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh membayar jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Mei ini sebagai sebutan semula kes. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI