fbpx

KBS umum pelepasan cukai sertai aktiviti sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH (tengah) mengakui pelepasan cukai bagi yuran menyertai latihan sukan adalah skop baharu yang mampu merancakkan aktiviti sukan di negara ini. - FB KBS MALAYSIA

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) terus berusaha untuk merancakkan aktiviti sukan di negara ini apabila memberikan pelepasan cukai sukan bernilai RM1,000 meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.

Pada Oktober tahun lalu, KBS telah mencadangkan pelaksanaan pengecualian cukai bagi pembelian peralatan sukan serta aktiviti sukan sehingga RM1,000. 

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pelepasan cukai bagi yuran menyertai latihan sukan adalah skop baharu yang dimasukkan untuk perbelanjaan yang dibuat oleh individu bermula pada tahun 2024.

Katanya, pengenalan pelepasan cukai tersebut mampu mengurangkan beban terutama bagi menampung perbelanjaan berkaitan penyertaan sukan, latihan bagi diri sendiri, pasangan atau anak-anak.

“Pelepasan cukai bagi yuran latihan akan meliputi 103 jenis sukan yang diwartakan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

“Langkah yang kita buat ini untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan juga penglibatan rakyat Malaysia dalam sukan.

“Kini ibu bapa boleh mendapat pelepasan cukai untuk latihan sukan bagi anak-anak mereka dan ini juga boleh menggalakkan industri sukan di mana bekas atlet boleh  menjadi jurulatih sebagai kerjaya mereka selepas ini.

“Ini akan mempercepatkan usaha untuk menjadikan budaya sukan di negara ini dan menggalakkan ibu bapa untuk melibatkan anak-anak mereka dalam sukan,” katanya pada sidang media pengumuman pelepasan cukai bagi latihan sukan di Putrajaya semalam.

Antara jenis pelepasan cukai individu berkaitan dengan perbelanjaan sukan yang boleh dituntut adalah pembelian peralatan untuk aktiviti sukan yang disenaraikan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) kecuali motosikal beroda dua.

Pelepasan cukai juga termasuk pembayaran yuran sewaan atau fi kemasukan ke mana-mana fasiliti sukan dan juga pembayaran pendaftaran bagi menyertai apa-apa pertandingan sukan dan serta yuran keahlian gimnasium atau latihan sukan,

Dalam pada itu, Hannah turut mengingatkan orang ramai untuk memeriksa sama ada penyedia latihan sukan mematuhi syarat dan kriteria kelayakan yang ditetapkan.

“Penyedia latihan tersebut mestilah merupakan persatuan, kelab sukan atau syarikat yang berdaftar dengan Pengerusi Sukan atau di bawah Akta Syarikat 2016.

“Jadi saya nasihatkan, mereka perlu membuat semakan terlebih dahulu sama ada penyedia latihan yang ingin disertai mereka mematuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan agar mereka layak untuk mendapat pelepasan cukai ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI