fbpx

JPJ benar penguat kuasa tidak pakai uniform ketika operasi penyamaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dibolehkan untuk tidak memakai uniform atau vest bagi tujuan penyamaran ketika melakukan operasi.

JPJ dalam kenyataan memaklumkan, walau bagaimanapun, pegawai penguat kuasa perlu mengemukakan pengenalan diri (kad kuasa) yang dikeluarkan Ketua Pengarah sekiranya diminta berbuat demikian.

Katanya, perkara itu selaras dengan Seksyen 123 (1) dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“JPJ mengambil maklum mengenai video tular berkaitan tiga anggota penguat kuasa JPJ tidak memakai uniform atau vest ketika melakukan operasi dan mengesahkan bahawa ketiga-tiganya adalah pegawai penguat kuasa JPJ.

“Jabatan ini melaksanakan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 bermula pada 1 April hingga 20 April lalu bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terutama penumpang bas ekspres,” katanya hari ini.

Terdahulu, tular video tiga anggota penguat kuasa JPJ tanpa uniform atau vest sedang melakukan pemeriksaan dan menahan sebuah bas penumpang ketika operasi khas pada 16 April lalu pada pukul lebih kurang 12.10 tengahari di Lebuhraya PLUS menghala ke arah Utara Nilai menggunakan kaedah penyamaran.

Tangkap layar video tular berhubung penguat kuasa JPJ tanpa uniform atau vest sedang melakukan pemeriksaan baru-baru ini.

Menurut JPJ, sepanjang operasi khas itu pihaknya menggunakan pelbagai kaedah termasuk melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya, pemeriksaan pemandu bas di terminal-terminal bas sebelum melaksanakan perjalanan dan pemantauan di lokasi-lokasi yang sering berlaku kemalangan.

Ini termasuk menggunakan teknologi dron, menyamar sebagai penumpang bas ekspres, penyamaran dengan menggunakan kenderaan tanpa lambang jabatan di samping bertindak atas aduan serta maklumat daripada orang ramai melalui sistem eAduan dalam aplikasi MyJPJ.

“Sebagai makluman kedua-dua pihak membuat laporan polis dan kes tersebut sedang dalam siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Semua pihak dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara tersebut dan memberikan ruang kepada pihak PDRM untuk melakukan siasatan penuh,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI