fbpx

Ibu tunggal hidap kanser tumpang kasih adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rohaslaini (kiri) bersama anak angkatnya di rumah kakaknya di Felda Kota Gelanggi Dua di Jerantut.

JERANTUT – Seorang ibu tunggal berhadapan ujian besar dalam hidupnya apabila menderita tiga penyakit berbahaya iaitu kanser rahim, kanser pa­yudara dan tiroid sejak tiga tahun lalu sehingga tidak mampu lagi bekerja.

Keadaan itu menyebabkan Rohaslaini Mohamed Ramly, 55, yang tidak mempunyai zuriat terpaksa bergantung hidup dan menumpang kasih di rumah adiknya yang bekerja sebagai pekerja pembersihan.

“Saya menerima ujian Allah apabila dijangkiti tiga jenis pe­nyakit ini dan saya hanya bergantung kepada ubat serta terpaksa berulang-alik ke hospital setiap bulan untuk menerima rawatan berkala.

“Bagi kanser rahim dan payu­dara, saya sudah menerima rawatan pembedahan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah ­(Hoshas) Temerloh beberapa bulan lalu dan kini saya bergantung kepada ubat,” kata Rohaslaini di Felda Kota Gelanggi Dua, di sini semalam.

Menurutnya, kanser payudara itu turut memberi kesan pada bahagian belakangnya dan dirinya semakin lemah sehingga perlu mendapat rawatan susulan di hospital tersebut.

Katanya, selepas jatuh sakit, dia kini tiada pendapatan kerana tidak mampu bekerja akibat lemah serta pergerakan yang terbatas.

“Kehidupan saya hanya bergantung pendapatan adik yang juga seorang ibu tunggal.

“Mujur ada adik yang turut berkorban menguruskan kebajikan saya di rumah termasuk berulang-alik ketika menjalani pembedahan di Hoshas serta perbelanjaan barang keperluan dapur, bil dan kos tertentu,” katanya.

Tambahnya, setakat ini dia belum menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak.

Adiknya, Rohaslinda yang mempunyai seorang anak berusia 11 tahun berkata, dia akan te­rus menjaga kakaknya yang turut memelihara seorang anak angkat lelaki berusia 10 tahun.

“Saya menerima gaji bersih RM1,300 sebulan dan dengan wang inilah digunakan untuk perbelanjaan barang keperluan dapur, bil, belanja sekolah anak dan kos ulang alik membawa kakak ke hospital.

“Perbelanjaan bulanan kami mencecah RM2,500, mahu atau tidak mahu kami perlu berjimat dengan mengutamakan barang keperluan bagi memastikan kami dapat makan setiap hari,” ujar­nya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Rohaslinda menerusi talian 019-7974237 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional Rohaslaini Mohamed Ramly 0600441100050407.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI