fbpx

Empat pemain negara ke separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADDEEN menggalas misi untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun. - ACE SPORTS AND MANAGEMENT

KUALA LUMPUR – Empat pemain negara berjaya meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir pada Kelayakan Kejohanan Skuasy Dunia Zon Asia yang berlangsung di Pusat Skuasy Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini.

Pertembungan dua pemain Malaysia membabitkan pilihan kedua kejohanan, Addeen Idrakie Bahtiar menentang Darren Rahul Pragasam berlangsung cukup sengit.

Addeen yang memburu penampilan pertamanya di Kejohanan Dunia selepas 12 tahun menggunakan segala pengalaman yang ada untuk mencatat kemenangan 14-12, 7-11, 11-4, 9-11, 11-4 dalam tempoh 74 minit.

“Saya patut habiskan perlawanan di set ketiga, tetapi Rahul memang bermain dengan bagus hari ini. Kesilapan saya adalah membiarkan dia mengatasi saya bila sedang mendahului permainan.

“Bagaimanapun, saya kekal dengan strategi permainan kerana saya tahu lebih cergas daripadanya. Saya gunakan segala kelebihan yang ada untuk melakar kemenangan,” kata Addeen.

Dalam pada itu, impian seorang lagi pemain negara, Syafiq Kamal untuk mengejutkan pilihan ketiga kejohanan dari Hong Kong, Tan Ming Hong tidak kesampaian apabila tewas tipis 11-7, 5-11, 11-7, 8-11, 9-11 selepas beraksi selama 78 minit.

Justeru, aksi separuh akhir esok bakal menyaksikan Addeen membuat perhitungan dengan Ming Hong bagi merebut tiket ke pentas final.

Terdahulu, dalam satu lagi aksi melibatkan pertembungan dua pemain Malaysia, Bryan Tze berjaya mengatasi rakan sepasukan, Ong Sai Hung dengan keputusan 11-8, 9-11, 6-11, 11-4, 11-6 dan bakal bertemu pilihan utama dari Jepun, Ryunosuke Tsukue di separuh akhir.

Turut mengiringi Addeen dan Bryan ke separuh akhir esok adalah dua pemain wanita negara, Chan Yi Wen dan Sehveetrraa Kumar yang turut menewaskan lawan masing-masing di suku akhir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI