BANDAR GAZA – Dron quadcopter Israel memainkan rakaman suara bayi dan wanita menangis untuk mengumpan penduduk Gaza keluar dari tempat persembunyian dan menembak mereka, lapor portal berita Middle East Eye (MME) kelmarin.
Pada malam Ahad dan Isnin lepas, penduduk di kem pelarian Nuseirat, utara Semenanjung Gaza terjaga selepas mendengar bunyi tangisan bayi dan wanita meminta tolong.
Apabila sekumpulan penduduk keluar untuk menghulurkan bantuan, dron quadcopter Israel melepaskan tembakan ke arah mereka.
Penghuni kem Nuseirat, Samira Abu al-Leil memberitahu MME bahawa dia mendengar bunyi beberapa quadcopter Israel melepaskan tembakan semasa dan sejurus selepas memainkan bunyi yang dirakam.
Bunyi itu boleh didengari selama beberapa minit dan dimainkan berulang kali malam Isnin lalu.
“Saya mendengar seorang wanita menangis dan menjerit meminta tolong. Bunyi itu menyatakan, ‘Tolong saya, anak saya syahid’.
“Bunyi itu datang dari jalan dan ia pelik,” kata lelaki berusia 49 tahun itu.
Menurut beberapa saksi, sekurang-kurangnya tujuh hingga 10 orang cedera akibat terkena tembakan dron quadcopter Israel dalam tempoh semalaman.
Penduduk lain, kata Samira, tidak dapat membantu mangsa, kerana ‘quadcopter itu menembak apa sahaja yang bergerak’.
Bagaimanapun, sebuah ambulans berjaya sampai ke lokasi kejadian dan membawa mereka yang terbunuh serta cedera ke hospital.
“Pada waktu malam, jalan-jalan lengang dan orang lelaki berada di dalam rumah mereka.
“Apabila quadcopter melepaskan tembakan, peluru hanya mengenai bumbung dan jalan, dron-dron itu tidak menemui sesiapa untuk ditembak.
“Tentera Israel akan memainkan audio ini kerana tahu sifat prihatin masyarakat Palestin. Israel tahu kaum lelaki Palestin akan cuba memberikan bantuan. Israel mahu penduduk lelaki keluar supaya dron-dron ini boleh menembak mereka,” katanya.
“Semalam (Isnin) dan malam sebelumnya (Ahad lepas), peluru quadcopter mengenai bumbung, pintu dan jalan di hadapan rumah kami. Bagaimanapun, dron-dron ini membedil grenad yang menyebabkan serpihan bertaburan di kawasan kejiranan kami, manakala ramai penduduk cedera.”
Quadcopter ialah dron kawalan jauh yang digunakan secara meluas oleh Rejim Zionis itu membunuh pejuang dan orang awam Palestin di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu.
Teknologi ini beransur-ansur menggantikan tentera darat dengan membantu dalam pengecaman sasaran dan menuju lokasi di mana tiada askar Israel ditempatkan.
Selain itu, quadcopter digunakan untuk menghendap kedudukan di barisan hadapan, menyasarkan individu dalam kediaman dan menyuraikan orang ramai di tempat awam.
Insiden penting melibatkan penggunaan quadcopter berlaku semasa pembunuhan beramai-ramai pada 11 Januari lalu di jalan al-Rasheed berhampiran Bandar Gaza. Banyak saksi menceritakan bagaimana quadcopter Israel menembak beratus-ratus penduduk awam yang menunggu ketibaan trak bantuan makanan.
Seorang remaja lelaki berumur 19 tahun, Muhammed Abu Youssef berkata, dia mendengar bunyi tangisan bayi kira-kira pukul 2 pagi, Isnin lalu. Bagaimanapun, remaja itu memilih untuk tidak mencari punca bunyi itu.
“Terdapat bunyi berbeza yang datang daripada quadcopter. Dron ini akan memainkan rakaman dan dapat berlegar-legar di ruang udara sekitar 30 hingga 60 minit sebelum melepaskan tembakan dan membedil grenad di kawasan kejiranan,” katanya.
“Kami tidak keluar kerana kami tahun bahawa ini hanya rakaman yang dimainkan oleh quadcopter untuk mengumpan kami keluar,” katanya.
Video yang dirakam oleh seorang penduduk di kem pelarian Nuseirat dan tersebar di media sosial memaparkan bunyi tangisan bayi, manakala penduduk menjelaskan bahawa ini adalah bunyi prarakam yang dimainkan oleh quadcopter Israel.
“Sejak tiga hari lalu, terdapat sekurang-kurangnya 12 kecederaan akibat tembakan quadcopter. Pagi ini sahaja, kami menyelamatkan enam orang yang cedera di kawasan kejiranan kami. Ada penduduk yang ditembak tdi kepala,” ujar remaja tersebut.
Menurut penduduk, rakaman audio itu termasuk lagu dalam bahasa Ibrani dan Arab. Ia termasuk lagu kanak-kanak, bunyi pertempuran dan kereta kebal bergerak, suara lelaki bersenjata Palestin, dan suara penjual penduduk Gaza.
Selama lebih seminggu, tentera Israel telah melakukan serangan ketenteraan sengit di bahagian barat laut Nuseirat dengan menyasarkan individu, rumah dan kawasan kejiranan. Tentera Rejim Zionis melepaskan bedilan meriam, tembakan dari udara, tembakan dari laut serta bedilan quadcopter. – AGENSI