PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mendedahkan bahawa beras yang dibuang di Temerloh, Pahang hingga tular di media sosial telah rosak selain tidak sesuai dan kurang selamat untuk dimakan.
KPKM dalam satu kenyataan bagi memberi maklum balas kepada isu tular itu berkata, pihaknya memandang serius berhubung pembuangan beras itu selain telah mengambil tindakan segera bagi menyiasat isu tular berkenaan.
Katanya, tindakan segera telah diambil dengan menjalankan siasatan melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Cawangan Temerloh ke lapangan.
Menurutnya, turut hadir ke lokasi adalah pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
“Lokasi kejadian tersebut berlaku di tempat pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur- Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh, Pahang.
“Berdasarkan penemuan awal, pihak KPB Cawangan Temerloh mendapati bahawa beras-beras tersebut telah rosak selain tidak selamat untuk dimakan,” katanya tadi.
Susulan itu, KPKM menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi
mengenai isu itu memandangkan perkara ini masih dalam siasatan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras, 1994 (Akta 522).
“Untuk makluman semua pihak, sebarang aktiviti pelupusan beras hendaklah merujuk kepada Kawalselia Padi dan Beras (KPB),
KPKM,” katanya.
Terdahulu, sejak lewat petang semalam, tular di media sosial gambar timbunan kampit beras, tin sardin dan tepung dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur – Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau.
Difahamkan, gambar itu mula menjadi tular selepas dimuat naik oleh beberapa pengguna media sosial di Facebook dan juga Tik Tok yang kebetulan melalui jalan tersebut. – KOSMO! ONLINE.