KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan anggota bersenjata bagi membuat kawalan keselamatan di pintu masuk negara susulan kejadian tembakan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, bermula Selasa lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kawalan keselamatan dan pemantauan itu membabitkan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Ketenteraman Awam (JKDNKA).
“Bagi penugasan di KLIA, setiap syif menempatkan 23 keanggotaan iaitu empat orang daripada PGA dan IPD KLIA 19 orang.
“Penugasan di KLIA 2 pula membabitkan kekuatan 14 anggota setiap syif di mana 10 keanggotaan bagi IPD KLIA dan empat daripada PGA,” katanya hari ini.
Jelas Razarudin, setiap satu shif yang akan bertugas selama lapan jam dengan pengiliran sebanyak tiga syif sehari.
Menurut beliau, satu syif akan berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan dalam menghadapi apa juga situasi dianggap mendatangkan ancaman.
“Konsep penugasan adalah bersesuaian dengan anggota beruniform lengkap bersenjata SMG HK MP5.
“Mereka ini (anggota IPD KLIA) akan berpasangan dengan anggota PGA yang memakai seragam penuh operasi lengkap berserta berret, body armor dan senjata utama serta senjata kedua,” katanya.
Katanya, penugasan secara ‘prowler’ (rondaan) akan dilaksanakan di lapan pintu masuk dan keluar di Balai Pelepasan dan Balai Ketibaan KLIA.
“Justeru ingin saya tegaskan bahawa langkah ini adalah sebagai salah satu penambahbaikan dari PDRM demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa menjadi keutamaan PDRM selain berharap supaya semua pihak memberikan kerjasama sewajarnya demi kebaikan kita bersama,” katanya.
Ahad lalu, seorang lelaki telah melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena seorang pengawal peribadi dalam kejadian pukul 1.20 pagi.
Wanita yang menjadi sasaran dalam insiden itu terselamat dan pihak polis memaklumkan kejadian bermotifkan perihal peribadi antara suspek dan isterinya. – KOSMO! ONLINE