SEPANG – Hasrat sekumpulan tiga warga Malaysia yang berjaya diselamatkan daripada sindiket pemerdagangan manusia untuk pulang segera ke tanah air tergendala, ekoran sambutan Songkran di Bangkok, Thailand.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, susulan perayaan itu, keadaan trafik di Bangkok sesak teruk, sekali gus membantutkan perjalanan pulang mangsa ke tanah air.
“Kami juga telah tempah tiket pesawat Thai Airways penerbangan TG417 dari Bangkok yang sepatutnya tiba (kelmarin), tetapi kelibat mereka tidak kelihatan,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini awal pagi tadi.
Katanya, beliau terus mengarahkan aktivis yang menyelia mangsa untuk menghubungi pihak imigresen Thailand sebelum diberitahu cerita sebenar.
Difahamkan, urusan penghantaran pulang tersebut diuruskan oleh unit pengusiran jabatan berkenaan dari depoh tahanan imigresen di Bangkok setelah selesai urusan dokumentasi. – KOSMO! ONLINE