REMBAU – Gara-gara tidak berpuas hati dengan hasil curian sebanyak RM100, seorang individu datang semula ke sebuah tokong di daerah ni bagi melakukan jenayah sama empat hari kemudian.
Tindakan individu terbabit dirakam melalui rakaman televisyen tertutup (CCTV) dan dimuat naik oleh seorang lelaki di media sosial Facebooknya.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan, Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed, kes berkenaan pada awalnya adalah kes yang berlaku pada hari raya pertama yang mana saspek masuk ke dalam tokong dan mencuri duit RM100 milik pengawal di situ yang sedang tidur.
“Bagaimanapun, duit tabung tidak di curi. Namun begitu suspek datang lagi pada cubaan kedua selepas empat hari. Pada cubaan kali kedua itu, suspek tidak berjaya masuk kerana pengawal menyedari perbuatan itu.
“Kejadian kali kedua juga tidak menyebabkan apa apa kerugian. Video rakaman CCTV itu mungkin di viralkan oleh pengurusan tokong tersebut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Shaik Abd Kadar, pihak polis kini sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu. – KOSMO! ONLINE