TELUK INTAN – Seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Perak di Dataran JPS, Jalan Bandar, dekat sini semalam, ditemui lemas hari ini.
Mayat lelaki berusia 50-an itu dijumpai pasukan penyelamat di tebing seberang Pulau Bangau pada jarak lima kilometer dari lokasi dia dipercayai terjun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, maklumat kejadian itu diterima pihaknya pada 2.20 petang semalam.
Katanya, sepasukan anggota termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Teluk Intan digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, kita menerima maklumat dari pihak polis bahawa terdapat seorang mangsa lelaki berumur 50-an dipercayai membunuh diri dengan terjun ke dalam sungai.
“Berikutan itu, komander operasi segera melakukan penilaian risiko di lokasi kejadian sebelum mengarahkan anggota membuat pencarian di permukaan sungai dengan menggunakan dua buah bot penyelamat,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, operasi yang disambung hari ini berjaya menemukan mangsa apabila mayatnya ditemui Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan pada pukul 7.55 pagi. – KOSMO! ONLINE