PETALING JAYA – Selepas berbulan tinggal di hotel dan menumpang rumah mentua, pelakon Nora Danish mahu mengambil tindakan terhadap kontraktor yang didakwa menipunya dalam proses pengubahsuaian kediaman.
Lebih membuatkan Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd. Danish Hanif, 42, berang apabila individu yang sudah dianggap sebagai keluarga itu tidak menyempurnakan tugas walaupun sudah menerima bayaran sebanyak 90 peratus.
“Saya sudah bayar 90 peratus sejak Ogos lalu dan tinggal di hotel sudah melebihi empat bulan. Sekarang tiga bulan saya menginap di rumah ibu. Betapa penatnya hadap benda ini.
“Salah saya kerana terlalu percaya dengan individu yang digelar ‘adik’, kerja tak habis terus angkat kaki.
“Tinggalkan kami terkontang-kanting kena tipu dengan kontraktor tidak berhati perut,” kata Nora menerusi hantaran Instagramnya.
Dalam pada itu, ibu kepada dua orang cahaya mata tersebut mahu membawa kes penipuan kepada pihak berkuasa jika tidak dapat diselesaikan segera atau sehingga hujung minggu hadapan.
“Kontraktor itu memang buat hal. Saya akan membuat laporan polis untuk kalian berdua jika kalau rumah saya tidak siap dalam minggu hadapan.
“Dari Januari patut siap. Sekarang sudah masuk April. Nak kata sabar, saya dah sabar lama. Memang polislah jawapannya.
“Menjelang minggu hadapan tidak siap juga, kalian masuk penjara,” katanya yang sudah lama menahan sabar dalam kes ini.
Ujar pelakon filem Polis Evo 3 itu lagi, masalah tersebut secara tidak langsung menyebabkan kehidupannya tidak tentu arah selain mengharapkan semua pihak berhati-hati mempercayai orang luar.
“Anak-anak saya tidur di sana-sini, Allahuakbar dah cuba reda dan bagi peluang banyak kali.
“Harap dengan tindakan ini dapat buka mata semua pihak agar berhati-hati untuk memilih kawan dan juga kontraktor,” ujarnya lagi. – KOSMO! ONLINE