PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat, angin kencang dan ribut petir di semua negeri kecuali Perlis dan Putrajaya sehingga 7 petang hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, amaran cuaca buruk itu dikeluarkan melibatkan hampir kebanyakan kawasan di seluruh Malaysia dengan taburan hujan lebat melebihi 20 Milimeter sejam (mm/j) dan dijangka boleh berterusan sehingga awal malam nanti.
“Kawasan yang terjejas dengan cuaca buruk itu termasuklah Selangor (Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat), Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin), Melaka (Jasin) dan Johor (Segamat, Kluang dan Mersing).
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang itu juga dijangka tertumpu bahagian utara melibatkan negeri Kedah (Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan) dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Batang Padang dan Muallim).
“Dalam pada Itu, cuaca lembap dan hujan itu juga diramalkan melanda bahagian Pantai Timur melibatkan Kelantan (Kuala Krai dan Gua Musang), Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Bera dan Rompin),” ujar MetMalaysia.
Tambah MetMalaysia, cuaca buruk di sebelah petang itu turut melanda Sarawak, melibatkan Kapit (Belaga), Miri (Subis, Beluru, Telang Usan dan Marudi) dan Limbang (Limbang) serta Sabah iaitu di Pedalaman (Beaufort dan Tambunan), Pantai Barat (Papar dan Ranau), Tawau (Tawau, Kunak dan Lahad Datu) dan Sandakan (Kinabatangan). – KOSMO! ONLINE