PETALING JAYA – Hujan lebat yang berterusan pada sebelah petang di Pahang dan Selangor semalam mengakibatkan bacaan aras air Sungai Telom, Blue Valley, Tanah Tinggi Cameron dan Sungai Binjai, Pekan Meru, Klang telah melepasi tahap bahaya setakat pukul 11 pagi.
Menerusi laman web info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), aras air Sungai Telom mencatatkan bacaan 1405.84 meter dengan trend menaik sebanyak 5.84 meter melebihi aras bahaya, manakala Sungai Binjai juga berada di tahap bahaya walaupun berlaku trend menurun dengan aras air 4.36 meter dicatatkan.
Selain itu, bagi aras air sungai tahap waspada pula dicatatkan di Sungai Buloh, Parit Mahang, Kuala Selangor dengan trend menurun serta Sungai Anak Bukit, Kota Setar dengan trend kenaikan aras air pada bacaan 1.41 meter.
Dalam pada itu, aras air Sungai Kapit New Headworks Sarawak mencatatkan trend menaik dengan bacaan aras air 1.08 meter melebihi tahap waspada.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk dengan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang yang melibatkan beberapa kawasan di sepuluh negeri termasuk Klang dan Kuala Langat, Selangor.
“Dalam pada itu, turut sama terkesan dengan cuaca buruk itu beberapa kawasan di Terengganu melibatkan Hulu Terengganu dan Dungun serta Tanah Tinggi Cameron, Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang termasuk Kelantan,” ujar MetMalaysia dalam kenyataannya di Facebook. – KOSMO! ONLINE