fbpx

K2

Bolehkah menyambut hari raya selama sebulan Syawal?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUDAH menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat di negara ini untuk melakukan aktiviti ziarah-menziarahi sepanjang Syawal. – Gambar hiasan

Assalamualaikum, saya pernah mendengar bahawa ada seorang ustaz memberitahu Hari Raya Aidilfitri hanya sehari. Orang Melayu sahaja yang menyambut hari raya selama sebulan. Betulkah kenyataan ustaz berkenaan?

Jawapan: Dalam kitab Tahzib al-Lughah disebutkan bahawa hari raya dinamakan dengan aid kerana hari raya datang dengan kegembiraan pada setiap tahun. Setelah sebulan berpuasa menahan lapar dan dahaga, maka pada hari raya umat Islam dianjurkan untuk bergembira.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa ketika mana Nabi SAW sampai ke Madinah, Nabi SAW mendapati penduduk Madinah memiliki dua hari yang mereka bergembira. Lalu Nabi SAW bertanya: “Apakah dua hari ini?” Lalu jawab mereka: “Ia adalah hari untuk kami bergembira.”

Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan dua hari tersebut dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.” (Riwayat Abu daud)
Manakala dalam riwayat yang lain, Abu Bakar RA masuk ke dalam rumah Nabi SAW dan ketika itu terdapat dua orang hamba perempuan daripada kalangan Ansar sedang menyanyikan lagu berkenaan peristiwa Bu’as.

Lalu Abu Bakar RA berkata: “Adakah seruling syaitan ada di dalam rumah Rasulullah?”
Lalu Rasulullah SAW  bersabda: “Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya bagi setiap kaum itu memiliki hari raya dan hari ini merupakan hari raya kita.” (Riwayat al-Bukhari)
Ibn Hajar al-Asqalani ketika menjelaskan berkenaan hadis ini berkata: “Antara faedah yang boleh diambil daripada hadis ini adalah disyariatkan memperluaskan memberi keluarga sesuatu yang boleh menggembirakan mereka pada hari raya, di samping merehatkan badan daripada kepenatan ibadat. Menzahirkan kegembiraan pada hari raya adalah termasuk dalam syiar agama.”

Pada hari raya, umat Islam juga digalakkan untuk saling menziarahi dan menyambung silaturahim. Ziarah pada hari raya dapat difahami daripada amalan yang dilakukan oleh Abu Bakar RA ke rumah Nabi SAW. Suasana di Malaysia, orang ramai akan meneruskan aktiviti menziarahi saudara-mara dan rakan sehinggalah akhir Syawal dengan mengadakan rumah terbuka dan sebagainya.

Terdapat banyak hadis yang menyebut berkenaan anjuran Islam untuk menyambung hubungan silaturahim, ukhuwah dan memuliakan tetamu. Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda: “Siapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung silaturahim.” (Riwayat al-Bukhari).

Tidak dinafikan bahawa hari raya yang disyariatkan hanyalah pada 1 Syawal. Bagaimanapun, tidak menafikan kebaikan untuk saling menziarahi dan menyambung silaturahim sama ada pada bulan Syawal atau bulan-bulan lain.

Kebiasaan di Malaysia, pada bulan Syawal, orang ramai akan melakukan ziarah-menziarahi dan ini merupakan adat kebiasaan yang baik.

Mana-mana adat yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus.

Kesimpulannya, Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada 1 Syawal.

Menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Menziarahi dan memuliakan tetamu adalah suatu yang dianjurkan oleh Nabi SAW.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI