fbpx

Banjir landa Kampung Melayu Subang antara terburuk – Penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan banjir kilat yang melanda Kampung Melayu Subang kelmarin.

SHAH ALAM – Penduduk menyifatkan banjir yang melanda Kampung Melayu Subang, di sini kelmarin adalah antara kejadian terburuk seumpama itu berlaku di kawasan tersebut.

Terdahulu, hujan berlarutan selama lebih dua jam bermula pada pukul 3.30 petang kelmarin menyebabkan air memasuki kediaman penduduk sehingga mencecah paras pinggang.

Seorang penduduk, Muhammad Fazli Othman, 32, berkata, saya pulang dari tempat kerja di Shah Alam kira-kira pukul 3.30 petang namun pada awalnya keadaan masih terkawal.

“Saya dikejutkan dengan panggilan jiran-jiran memaklumkan air naik kira-kira 30 minit kemudian. Saya yang sedang berehat di dalam bilik bergegas membantu jiran-jiran lain seperti golongan warga emas ke lokasi lebih tinggi.

“Pada awalnya air baru mencecah paras buku lali. Apabila saya turun kembali ke kawasan rumah air sudah mencecah paras paha,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Katanya, dia tidak sempat menyelamatkan barangan lain dan hanya membawa dokumen penting sebelum menyelamatkan diri.

Ujarnya, ekoran kejadian itu, dia menanggung kerugian kira-kira RM10,000.

Seorang lagi penduduk, Saifuddin Ramli, 33, memberitahu, ia merupakan pengalaman pertama dia menghadapi situasi cemas seperti ini.

“Saya mengetahui kawasan rumah dinaiki air banjir adalah menerusi mesej kumpulan WhatsApp ketika bekerja. Saya bergegas pulang ke rumah dan ketika sampai air sudah mencecah paras lutut.

“Sepanjang 33 tahun tinggal di sini, ini pengalaman pertama saya menghadapi situasi seperti ini. Lebih menyedihkan saya hanya mampu melihat peti air ditenggelami banjir, dokumen penting sahaja mampu diselamatkan,” katanya.

Menurut Nor Syaheeda Shaari, 39, pula, meskipun sudah tiga kali berdepan bah, namun musibah kali ini adalah merupakan yang terburuk pernah dialami apabila air naik dengan begitu mendadak.

“Walaupun sempat memindahkan barang ke lokasi lebih tinggi, namun semuanya turut terendam air banjir. Akibat kejadian yang berlaku agak mendadak, tiada apa boleh kami buat, hanya mampu melihat peralatan rumah musnah depan mata,” katanya.

Sementara itu, Shahizan Afzan, 40, memberitahu, ketika kejadian, dia sedang berniaga di Shah Alam bersama rakan dan tiada individu di rumah kerana isteri dan anaknya masih beraya di Kuantan.

“Memang terkejut, apatah lagi banyak kerja yang perlu dilakukan selepas ini termasuk membersihkan rumah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI