DORTMUND – Harapan Atletico Madrid untuk mara ke pentas separuh ahir Liga Juara-Juara (UCL) buat kali pertama sejak edisi 2017 tidak kesampaian selepas tewas 4-5 secara agregat kepada Borussia Dortmund awal pagi semalam.
Ketua jurulatih Atletico, Diego Simeone enggan menyalahkan anak-anak buahnya yang dilihat bekerja keras sepanjang perlawanan di Signal Iduna Park itu.
“Misi kami ke sini untuk melakar kemenangan, tetapi apa yang Dortmund pamerkan sangat mengejutkan. Kami meraih keputusan positif pada aksi pertama minggu lalu, tetapi mereka berjaya mendahului 2-0 pada awal perlawanan.
“Namun, pemain telah menunjukkan reaksi sebenar untuk bangkit 2-2, namun momentum tersebut tidak dapat diteruskan apabila kami sedikit leka sehingga pasukan tuan rumah berjaya menambah dua gol yang membunuh emosi pemain,” katanya.
Sementara itu, kapten Atletico, Koke mengakui cara mereka tersingkir kali ini adalah sesuatu yang menyedihkan kerana membuka ruang buat Dortmund melakukan ke-
bangkitan.
“Bola sepak adalah sukan yang kejam. Kami sepatutnya boleh mara ke peringkat separuh akhir, tetapi cara mereka mendapatkan gol adalah hasil kesilapan kami sendiri yang sepatutnya boleh dielakkan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Atletico mendapat khabar ‘suka dalam duka’ apabila disahkan layak beraksi pada Piala Kelab Dunia edisi 2025 susulan kegagalan Barcelona mara ke separuh akhir UCL musim ini.
Atletico mara hasil kedudukan ranking lebih tinggi dan menjadi pasukan ke-11 Eropah yang bakal bersaing pada kejohanan berprestij di Amerika Syarikat (AS) tahun depan.
Sebelum ini, 10 pasukan telah mengesahkan tiket bersaing pada Piala Kelab Dunia 2025 seperti Chelsea, Real Madrid, Manchester City Bayern Munich, PSG, Inter Milan, Porto, Dortmund, Benfica dan Juventus.
Setiap pasukan bakal diberikan dana sekurangnya €50 juta (RM254.8 juta) dengan satu lagi slot Eropah bakal menjadi milik Arsenal atau Red Bull Salzburg. – AGENSI