fbpx

Andalusia, Saudia meterai MoU pembelian 70,000 tiket penerbangan umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ida Riswana (dua dari kiri) dan Che Zakiah selepas Majlis MoU Andalusia dengan Saudia di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto AMARULLAH ZAINUZZAMAN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama syarikat penerbangan Saudi Airlines (Saudia) bagi pembelian 70,000 tiket penerbangan dengan nilai kontrak hampir RM230 juta bagi tahun 1446 hijrah 2024/2025.

Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Ida Riswana Idris berkata, tiket tersebut adalah bagi pakej ibadah umrah yang mana setakat hari ini, Andalusia telah menjual 11,300 pakej umrah.

“Pembelian tiket ini adalah bagi penerbangan pakej umrah yang akan bermula 11 Julai hingga Mei tahun depan. Secara purata (permintaan) bagi pakej Andalusia ini meningkat lebih lagi hingga 100 peratus.

“Justeru, Andalusia komited untuk mengekalkan dan menambah baik mutu perkhidmatan kami kepada jemaah umrah yang dianggarkan bertambah hingga mencecah 80,000 orang pada musim umrah 1446 hijrah ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menandatangani MoU dengan Saudia, di sini hari ini.

Beliau berkata, melalui suntikan semangat daripada MoU ini, Andalusia Travel akan menggerakkan seluruh jentera dari 53 cawangan dan 1,500 pegawai pemasaran bagi membuka jalan kepada umat Islam mengerjakan umrah.

“Objektif Andalusia ialah tidak lain tidak bukan selain daripada menyantuni seramai mungkin tetamu Allah bagi mengerjakan umrah dan haji.

“Dengan MoU ini juga, ia memberi jaminan bahawa penerbangan bagi pakej di bawah Andalusia berjalan mengikut jadual. Apabila Andalusia menyediakan pakej umrah, ia terjamin dan tidak ada keraguan, misalnya masalah ketiadaan tiket sebagainya,” ujarnya.

Sementara itu, Ida Riswana berkata, setiap tahun ramai jemaah umrah kendalian Andalusia memilih penerbangan Saudia kerana perkhidmatan selain fasiliti lengkap termasuk surau mini di dalam pesawat membolehkan solat dikerjakan seperti biasa.

Terdahulu MoU tersebut ditandatangani oleh Ida Riswana, manakala Saudia diwakili oleh Pengurus Kanannya, Che Zakiah Ahmad. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI