ALOR SETAR – Warga emas yang maut digilis treler dalam kemalangan di Jalan Gangsa, Mergong di sini hari ini dipercayai dalam perjalanan ke masjid untuk mengaji al-Quran selepas membeli ubi di pasar borong berdekatan.
Menurut anak sulungnya yang juga Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Syeikh Radzi Abdul Mutalib, 51, sudah menjadi rutin harian Allahyarham Abdul Mutalib Abdullah, 76, menunggang motosikal untuk berbuat demikian.
“Mak (Tom Ibrahim, 68) sejak zaman saya bersekolah lagi buat kuih untuk jualan dan setiap minggu arwah akan ke pasar borong beli ubi untuk buat cucur badak dan keria. Arwah juga ke masjid belajar mengaji dan solat berjemaah dengan menunggang motosikalnya itu setiap hari.
“Saya dapat panggilan daripada adik pada pukul 10.45 pagi tadi beritahu tentang kemalangan ini. Itu pun setelah gambar kemalangan arwah tular di media sosial untuk cari waris. Sempat saya bergegas ke lokasi tetapi jenazah sudah dibawa ke hospital,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, di sini hari ini.
Katanya, kali terakhir bertemu dia dengan arwah pada pagi semalam di rumahnya di Kampung Kota Kubang Teduh, di sini untuk menghantar pasembur.
Katanya, jenazah arwah bapanya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Kota Kubang Teduh selepas solat Isyak, hari ini.
Sementara itu, menurut adiknya, Mohd. Nizar, 35, keluarganya reda dengan pemergian bapa mereka itu pada bulan Syawal mulia ini.
“Kami baru berkumpul sambut Hari Raya Aidilfitri minggu lepas bersama semua ahli keluarga termasuk yang pulang dari jauh. Arwah dan mak tinggal dengan adik kami yang bongsu sahaja di rumah itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE