KUALA LUMPUR – Enggan meletakkan sebarang harapan tinggi, pelakon Syafiq Kyle mengakui turut menyelitkan hal hubungannya dengan aktres Mimi Lana dalam doanya ketika menunaikan ibadah umrah baru-baru ini.
Syafiq atau nama penuhnya Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak, 31, berkata, hubungannya dengan Mimi kini hanyalah sebagai sahabat namun menyerahkan sepenuhnya kepada Tuhan berkaitan jodoh.
“Apabila ada pengharapan dalam hati ramai, saya harap sulamkan dengan doa. Saya pun memang tak berhenti berdoa di Tanah Suci.
“Saya pun bukan individu yang layak untuk beri kata putus tentang semua yang terjadi. Masing masing pun dapat melihat dan untuk menghakimi pun terpulang pada masing-masing
“Apa yang boleh cakap ialah setakat itu sahaja. Alhamdulillah kami masih berbaik dan berkawan. Untuk kata lebih pun tak berani,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis tayangan perdana filem Sheriff di sini, semalam.
Mengulas kehadiran Mimi pada majlis tersebut, dia hanya meminta orang ramai menitipkan doa yang terbaik buat mereka berdua.
“Masya-allah alhamdulilah. Antara salah satu doa yang saya minta di Tanah Suci ialah hubungan dengan semua termasuk keluarga dan Mimi.
“Teruskan berdoa. Kalau saya yang pegang ‘button’ makbul itu mesti saya makbulkan tapi bukan saya yang pegang.
“Kita manusia, saya pun bukannya matang dan pandai sangat untuk bercakap, saya hanya boleh reda, terima dan teruskan sokong,” jelasnya
Dalam pada itu, dia sangat bersyukur menjadi antara insan terpilih yang dipanggil meraikan hari lebaran di Tanah Suci baru-baru ini.
Bahkan, dia juga tidak dapat menggambarkan dengan kata-kata tentang pengalaman pertamanya menunaikan umrah.
“Alhamdulillah saya dapat beraya di Madinah. Rasa sangat bersyukur.
“Saya berada di sana selama 10 hari dan sempat sambut raya selama tiga hari sebelum pulang ke tanah air sini pada pada hari Syawal keempat.
“Tak boleh kongsi sangat sebab saya pun tidak mampu untuk huraikan semua dengan kata-kata tetapi syukur,” jelasnya.
Menerusi Sheriff, selain Syafiq, pelakon hebat tempatan turut membarisi filem tersebut seperti, Zul Ariffin, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan dan ramai lagi.
Filem terbitan dua studio gergasi tanah air, Skop Productions dan Astro Shaw bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara dan Singapura bermula esok. – KOSMO! ONLINE