PETALING JAYA – Selepas menyambut Aidilfitri, penyanyi Shila Amzah mengakui berdebar menanti detik kelahiran cahaya mata keduanya tidak lama lagi.
Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 34, bersyukur persiapan menimang cahaya mata kali ini lebih banyak dilakukan suaminya, Ubai yang sangat teruja menyambut kelahiran anak buat kali pertama.
“Habis sudah raya untuk saya. Tidak sabar menunggu ketibaan adik (gelaran bayi dalam kandungan) tetapi dalam masa sama berdebarlah juga.
“Kali ini, kebanyakannya Ubai yang selesaikan. Untuk katil bayi, suami yang tukar warna baharu daripada katil anak pertama (Seth), memandangkan barangan tersebut masih dalam keadaan sangat baik.
“Segala-galanya berubah menjadi warna pastel dan natural untuk bilik adik. Sebelum ini, Sethy (nama panggilan Seth) punya bilik bertemakan monokrom,” katanya dalam hantaran Instagram.
Selain itu, pelantun lagu Patah Seribu itu meluahkan rasa syukur dengan kehadiran Ubai atau Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 25, yang menjadi tunggak kebahagiaan rumah tangga mereka.
“Mempunyai papa (nama mesra Ubai) dalam kehidupan kita adalah satu kegembiraan, alhamdulillah.
“Semoga Allah SWT murahkan rezeki, harmonikan rumah tangga dan keluarga kita,” kongsinya lagi.
Sebelum ini, Shila mengakui kehamilan keduanya sangat berbeza apabila Ubai turut berkongsi alahan yang sama dengannya.
Dia juga memilih hospital kerajaan berbanding swasta untuk melahirkan bayinya kelak.
Terdahulu, Shila dan Ubai mendirikan rumah tangga pada 4 Ogos 2023 selepas pasangan tersebut selamat mengikat tali pertunangan secara tertutup pada Mei 2023.
Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018, namun ikatan perkahwinan tidak berpanjangan apabila bercerai pada Februari 2022.
Hasil perkahwinan, Shila dikurniakan anak lelaki, Seth Uwais yang kini berusia lima tahun. – KOSMO! ONLINE