DUBAI – Lapangan terbang antarabangsa utama Dubai melencongkan berpuluh-puluh penerbangan masuk semalam ketika hujan lebat melanda Emiriyah Arab Bersatu, menyebabkan banjir berlaku di merata-rata tempat di negara gurun berkenaan.
Lapangan terbang paling sibuk untuk penumpang antarabangsa itu mengesahkan penangguhan ketibaan pesawat pada pukul 7.26 malam (waktu tempatan) sebelum mengumumkan ketibaan semula secara beransur-ansur lebih dua jam kemudian.
Terdahulu, lapangan terbang yang dijadualkan menerima ketibaan lebih 100 penerbangan petang semalam itu mengambil langkah luar biasa menangguhkan seketika operasinya akibat huru-hara disebabkan ribut yang berlaku.
Dubai yang merupakan pusat kewangan Asia Barat, lumpuh disebabkan hujan lebat mencetuskan banjir di serata UAE dan Bahrain, manakala 18 orang terkorban di Oman pada Ahad lalu serta kelmarin.
Operasi di lapangan terbang Dubai turut digantung selama 25 minit pada tengah hari semalam sebelum pulih semula.
Penerbangan keluar masih beroperasi pada waktu petang tetapi dibelenggu oleh masalah kelewatan dan pembatalan.
Jalan masuk ke lapangan terbang juga ditenggelami air.
Senario serupa berlaku di serata Dubai dan tempat-tempat lain di UAE. – AGENSI