PUTRAJAYA – Malaysia mempelawa pengendali kapal pelayaran untuk memanfaatkan infrastruktur pelabuhan pelayaran di negara ini.
Malaysia memiliki pelbagai terminal pelabuhan seperti Langkawi Cruise Terminal, Swettenham Pier Cruise Terminal di Pulau Pinang, Port Klang Cruise Terminal.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini termasuk Melaka International Cruise Terminal yang akan dibangunkan di pesisiran Selat Melaka serta pelabuhan-pelabuhan Sabah dan Sarawak di sepanjang pesisiran Laut China Selatan.
“Permintaan untuk pelancongan pelayaran tumbuh dengan pesat di China dan sedang berkembang di India.
“Kepelbagaian budaya Malaysia dan rantau ASEAN sememangnya boleh menawarkan pengalaman bercuti yang menarik kepada pelancong-pelancong China dan India.
“Kepesatan pelancongan pelayaran juga memberi kesan limpahan ekonomi bagi peruncitan, makanan dan minuman serta perhotelan,” katanya ketika menghadiri Seatrade Cruise Global 2024 di Miami, Florida baru-baru ini.
Anthony Loke merupakan Menteri Pengangkutan Malaysia pertama yang menghadiri persidangan tahunan tersebut dan menyampaikan kesungguhan Malaysia semasa persidangan itu untuk menjadi destinasi pelayaran utama.
Persidangan tahunan tersebut mengumpulkan pakar industri dari 80 syarikat pelayaran di 120 negara yang berlangsung pada 8 hingga 11 April lalu.
Anthony Loke berkata, kementeriannya juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi homeport yang terpilih di rantau Asia Pasifik.
Jelasnya, industri pelayaran juga dapat membantu dalam pembangunan rantaian bekalan hijau di Malaysia termasuk shore power dan green bunkering di Malaysia.
“Ia selaras dengan sasaran pelepasan sifar bersih di bawah Strategi Pertubuhan Maritim Antarabangsa mengenai Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau dari Kapal.
“Malaysia meluahkan minat untuk menjadi tuan rumah Seatrade Cruise Asia 2026 untuk menunjukkan keazaman dalam mempromosikan industri pelayaran sebagai pemangkin ekonomi yang berpotensi untuk negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE