BRASILIA – Seorang pengantin perempuan meninggal dunia pada majlis perkahwinannya sendiri selepas terjatuh ke dalam kolam renang, lapor akhbar Metro UK semalam.
Elisangela Gazano, 38, dilaporkan hilang keseimbangan ketika menari sebelum terjatuh ke dalam kolam renang di sebuah rumah yang disewa di Limeira, Brazil, Ahad lalu.
Tetamu cuba menyelamatkan mangsa yang juga seorang ibu dengan lima anak, namun dia mengalami serangan jantung dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Beberapa jam sebelum itu, Elisangela sempat memuat naik gambar di media sosial yang memaparkan dia menandatangani beberapa dokumen sambil memakai gaun putih pengantin. – AGENSI