KOTA BHARU – Seorang pemandu jengkaut terlepas hukuman mati apabila Mahkamah Tinggi Kota Bharu di sini hari ini menggantikan hukuman itu dengan penjara 38 tahun dan 12 sebatan selepas didapati bersalah membunuh Ketua Wanita UMNO Cawangan Bakau Tinggi, 16 tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan sebulat suara mengetepikan hukuman mati terhadap Zulhisham Fadly Mohamad, 43.
“Hukuman mati diketepikan dan diganti dengan hukuman penjara 38 tahun dan 12 sebatan dari tarikh tangkap (21 April 2008),” ujar Maimun.
Zulhisham Fadly sebelum ini telah merayu kepada Mahkamah Rayuan melalui Rayuan Jenayah pada 17 Jun 2014, namun rayuannya itu ditolak dan hukuman mati dikekalkan.
Tertuduh turut membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan dan mahkamah itu menolak rayuan tersebut pada 7 September 2015 dengan mengesahkan sabitan dan hukuman mati.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fuad Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili Mazlan Md. Zain. – KOSMO! ONLINE