fbpx

Lima jam cari lelaki jatuh mesin pembancuh simen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota forensik melakukan pemeriksaan terhadap mayat lelaki tersebut.

SHAH ALAM – Seorang lelaki ditemui dalam keadaan mengerikan dengan kepalanya terputus selepas terjatuh dalam mesin pembancuh simen dalam kejadian di sebuah kilang membuat batu blok di Seksyen 35, hari ini.

Pengeluaran mangsa berusia 50an itu berjaya dilakukan kira-kira pukul 4 petang dengan mengambil masa hampir lima jam selepas dimaklumkan penemuannya pukul 11.44 pagi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pemakluman penemuan dibuat orang awam yang menjumpai satu mayat terapung dalam mesin tersebut.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh sendiri ke dalam tangki bancuhan simen dan terkena bilah pembancuh tersebut.

“Pemeriksaan oleh Forensik Selangor ke atas badan simati mendapati tangan sebelah kanan dari paras siku dan kepala terputus.

“Tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh mangsa yang boleh menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan identiti mangsa dikenalpasti oleh waris melalui pengecaman tatu pada lengan sebelah kiri.

Tambah Mohd. Iqbal, mayat mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

“Siasatan dijalankan dibawah mati mengejut dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Shahrul Bakhri di talian 012-3630512,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar memaklumkan seramai empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sri Andalas terlibat operasi tersebut.

“Mesin pembancuh simen tersebut berkeluasan hampir 1 meter persegi dengan mayat berjaya dikeluarkan pukul 4 petang,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI