KUCHING – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menawarkan rumah transit sebagai tempat tinggal sementara bagi membantu wanita warga emas dan suaminya, yang mendakwa menerima layanan buruk daripada dua pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pada awalnya pasangan itu ditawarkan tempat di Anjung Kasih tetapi suami wanita terbabit tidak mahu disebabkan ramai penghuni lain.
“Jadi memandangkan salah seorang daripada pasangan itu tidak bersetuju, maka kita membantu untuk tawarkan rumah transit.
“Namun itu hanyalah sebahagian daripada tindakan kita dan mereka akan dibantu selanjutnya…ada lagi perkara-perkara lain,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis rumah terbuka Aidilfitri di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita yang menyiarkan dakwaan wanita itu bersama-sama suaminya seorang pemegang kad penduduk tetap diberi layanan buruk oleh dua pegawai JKM dan dipaksa ke Terminal Bas Bersepadu (TBS) Bandar Tasik Selatan kerana menjadi gelandangan di Kuala Lumpur.
Dalam laporan itu, wanita berkenaan mendakwa rayuannya untuk terus kekal tinggal di kawasan kaki lima berdekatan sebuah restoran tempat dia bekerja mencuci pinggan mangkuk bagi menyara diri dan suami turut tidak diendahkan.
Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan pasangan terbabit menerima layanan buruk daripada dua pegawai JKM, Nancy berkata, pihaknya sedang menyiasat perkara itu.
“Kalau betul pegawai kita yang biadap, kita perlu menanganinya tapi setakat ini oleh kerana kita hanya membaca daripada media sosial maka adalah elok ia disiasat supaya kita tidak mendengar sebelah pihak sahaja, yang penting kita punya objektif adalah untuk membantu mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE