KUALA TERENGGANU – Seorang juruwang wanita menjadi pesalah kedua dikenakan hukuman sebatan atas kesalahan khalwat berulang oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di sini hari ini.
Hakim Kanan Syarie Rosdi Harun memerintahkan tertuduh, Nurfifi Amira Nawi, 37, dikenakan enam sebatan dan denda RM4,000 atas kesalahan khalwat kali kedua yang dilakukan pada awal tahun ini.
Beliau memutuskan demikian selepas ibu tunggal anak satu itu membuat pengakuan bersalah setelah pertuduhan dibacakan.
Nurfifi Amira turut berhadapan hukuman penjara selama lapan bulan sekiranya gagal membayar denda RM4,000 terbabit.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa berkhalwat dengan seorang lelaki berusia 40 tahun di sebuah rumah di Taman Geliga, Kemaman pada pukul 3.15 petang, 31 Januari lalu.
Nurfifi Amira didakwa mengikut Seksyen 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 yang memperuntukkan hukuman maksimum enam sebatan, denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, tertuduh pernah didenda RM3,000 juga atas kesalahan berkhalwat pada tahun 2018.
Kosmo! 20 Februari lalu melaporkan seorang buruh binaan menjadi pesalah pertama dikenakan hukuman sebatan atas kesalahan melakukan kesalahan khalwat berulang oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu. – KOSMO! ONLINE