PETALING JAYA – Gaji rendah bukan lagi alasan utama pekerja memilih untuk kekal dalam sebuah syarikat di Malaysia.
Perkara itu didedahkan menerusi kajian oleh Panduan Gaji Hays Asia 2024 melibatkan 2,800 pekerja, merangkumi 2,014 pekerja profesional dan 832 pekerja biasa.
Kajian yang dijalankan sepanjang enam minggu pada akhir 2023 itu, meminta pekerja menyenaraikan tiga sebab utama mereka mahu meninggalkan kerjaya semasa.
Pengarah Urusan di Hays Asia, Marc Burrage berkata, hasil kajian mendapati keinginan untuk mencari cabaran baharu mengatasi gaji rendah sebagai sebab utama di seluruh Asia.
Menurutnya, pilihan kerja yang fleksibel pula dipilih sebagai sumbangan paling tinggi kepada keputusan itu melebihi pertimbangan gaji.
“Dalam kalangan pekerja yang komited, keseimbangan antara kerja dan kehidupan yang baik dan pengalaman yang sesuai dengan pengurus dan rakan sekerja masing-masing berada di kedudukan kedua dan ketiga.
“Selain itu, persekitaran kerja yang sihat, nilai-nilai positif dan peranan yang cukup mencabar menjadi pilihan utama pekerja di Malaysia,” katanya dalam laporan yang dikeluarkan pada 17 Mac lalu.
Justeru, katanya, pihak atasan perlu mengadakan perbincangan dengan kakitangan selain meneliti bagaimana mereka boleh meningkatkan nilai dalam syarikat berkenaan.
“Kerjasama adalah ‘kunci’ dan kedua-dua pihak perlu menghadapi cabaran ini dengan fikiran terbuka dan kesediaan untuk menyesuaikan diri,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE