fbpx

Fenomena banjir kilat diramal berlarutan ke pertengahan Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Ribut petir dan hujan lebat dalam tempoh singkat yang berlaku di beberapa kawasan di Semenanjung akan berlarutan ke pertengahan Mei sebelum Monsun Barat Daya bermula.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, sebelum ini negara mengalami Monsun Timur Laut dimana banyaknya hujan terutamanya di kawasan Pantai Timur.

Ujarnya, sebelum memasuki Monsun Barat Daya, negara sedang berada dalam fasa peralihan monsun dimana ciri-ciri utama keadaan cuaca ketika ini adalah terbentuknya awan ribut petir yang menyebabkan hujan lebat dan angin kencang.

“Dalam fasa ini, angin jadi tidak menentu, keadaan tiupan angin sangat lemah dengan cuaca yang panas pada siang hari bersama kelembapan tinggi. Ini semua adalah ramuan untuk berlakunya pembentukan awan ribut petir, dan biasanya membawa bersama hujan yang lebat dalam tempoh singkat dalam satu atau dua jam.

“Dalam masa yang sama, kilat juga akan lebih kerap berlaku pada fasa peralihan monsun ini menyebabkan bumbung-bumbung rumah terbang atau pokok tumbang dan sebagainya. Ini kita kata kelaziman yang berlaku ketika berada di dalam fasa ini.

“Awan ribut petir ini boleh terbentuk dimana-mana terutamanya di negeri-negeri Pantai Barat dari kawasan selatan, sampailah ke utara. Kawasan lain yang terlibat juga termasuklah sebahagian barat Sabah, dan barat Sarawak,” katanya dalam satu wawancara dalam talian, hari ini.

Tambah Mohd. Hisham, banjir kilat di Kuala Lumpur tidak dapat disangkal lagi akan berlaku pada fasa ini berdasarkan rekod-rekod terdahulu namun masa dan tempat spesifik masih di bawah pengawasan MetMalaysia lagi.

“Kuala Lumpur memang kawasan ‘hot spot’ banjir kilat setiap kali fasa peralihan monsun ini berlaku berdasarkan rekod-rekod terdahulu. Cuma tempat dan masa spesifik kita tak boleh nak jangka. Apa yang kami boleh ramalkan adalah melihat pembentukan awan ribut petur itu dan keluarkan amaran satu atau dua jam lebih awal untuk pastikan warga kota cakna,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Monsun Barat Daya yang akan dialami negara pada pertengahan Mei nanti, ujarnya, berdasarkan modul-modul ramalan jangka panjang, cuaca akan lebih kering namun tidak terlalu ekstrem.

Jelasnya, hujan kebiasaannya akan sedikit kurang pada fasa ini sehingga menyebabkan masalah air dan jerebu berlaku.

Bagaimanapun, katanya, ramalan cuaca pada bulan depan masih lagi berada di bawah pengawasan MetMalaysia dan Jawatankuasa Bencana Kebangsaan sehingga dimuktamadkan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI