PETALING JAYA – Dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri di kampung halaman, sebuah keluarga tidak menyangka rumah yang ditinggalkan dipecah masuk sehingga barang-barang berharga habis dicuri.
Menerusi video yang dimuat naik @syazaaein_ di akaun TikTok malam tadi, dia terkejut apabila mendapati rumahnya yang terletak di Kuala Lumpur berselerak seperti digeledah orang.
Katanya, dia dan keluarga baru sahaja menempuh kesesakan jalan raya hampir 10 jam dari kampung yang terletak di Kedah sebelum tibanya di rumah tersebut.
Alangkah terkejutnya wanita itu sekeluarga apabila mendapati hampir seluruh bilik termasuk ruang tamu berselerak akibat digeledah.
“Dugaan kami sekeluarga semasa pulang beraya ke kampung halaman. Trauma sangat. Barang dari bilik ibu ayah habis dipunggah diletakkan di luar.
“Duit wang tunai aku pun diambil, sama juga dengan tabung adik. Barang kemas mak ayah semua hilang.
“Ikan 14 ekor yang tak bersalah ni pun jadi mangsa. Allahuakbar, berapa hari hidup tanpa oksigen akibat elektrik dipadam oleh individu yang pecah masuk ke rumah,” katanya dalam video itu.
Difahamkan, sebelum wanita itu sekeluarga pulang ke kampung, dia mendakwa sudah pun mengisi borang di balai polis untuk meminta melakukan rondaan sepanjang rumahnya ditinggalkan.
“Sebelum balik kampung mmg dah hantar borang dekat balai. Ayah pun dah maklumkan dekat kawan polis juga. Laporan polis pun sudah buat, dua balai kami pergi,” komennya.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang bersimpati dan mendoakan agar keluarga tersebut dipermudahkan segala urusan menghadapi dugaan itu.
“Pentanya mental, penat lagi nak mengemas. Ya Allah orang penat balik kampung hadap jalan ‘jem’ pun tak hilang lagi. Lepas tu diuji sampai-sampai rumah macam ni. Moga Allah ganti yang lebih baik untuk awak,” komen Kasih.
“Ya Allah kak, menggigil saya tengok akak. Sebab saya punya rumah pun kena tahun 2019 tak silap. Balik dari kampung memang rasa tak sedap hati. Saya buka je pintu, tengok ruang tamu dah bersepah,” komen Lola pula. – KOSMO! ONLINE