SANDAKAN – Sebanyak 3.6 tan minyak sawit dipercayai cuba diseleweng dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi Op Khas Aidilfitri di Batu 25, Jalan Sandakan kelmarin.
Dalam operasi kira-kira pukul 6.40 petang itu, semua minyak sawit mentah (CPO) berkenaan dibawa seorang lelaki menggunakan sebuah lori.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, pasukan operasi terserempak dengan sebuah lori yang berhenti di bahu jalan dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan terhadap lori berkenaan mendapati membawa muatan disyaki minyak sawit mentah tanpa sebarang dokumen yang sah.
“Suspek yang juga pemandu lori berusia 36 tahun terus ditahan bersama minyak sawit mentah untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Ahmad, tangkapan serta rampasan kemudiannya dibawa ke pejabat PPM Sandakan bagi urusan dokumentasi.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan bernilai RM58,870 berdasarkan harga pasaran semasa. – KOSMO! ONLINE