KOTA KINABALU – Sepucuk pistol dikaitkan dengan kes kematian anak Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu semalam disahkan sudah dirampas.
Pistol semi automatik jenis Walther P99 itu dirampas bagi tujuan siasatan mengenai kejadian terbabit.
Bagaimanapun, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Shahurinain Jais memaklumkan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.
Shahurinain berkata, siasatan juga tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kes terbabit.
“Kes diklasifikaskan sebagai kematian mengejut (SDR) dengan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Mengulas lanjut, Shahurinain menyatakan proses bedah siasat masih dijalankan dan pihak polis masih menunggu keputusan untuk mengetahui punca sebenar kematian mangsa.
Menurut Shahurinain, tiga saksi juga sudah memberi keterangan untuk membantu siasatan tetapi pihaknya enggan mendedahkan identiti yang terlibat.
Terdahulu, anak perempuan KPD Lahad Datu berusai 14 tahun ditemui maut dipercayai tertembak diri sendiri secara tidak sengaja menggunakan pistol milik bapanya dalam kejadian di kediaman mereka di Taman Tabanak, Lahad Datu tengah hari semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata mangsa ditemui oleh kakaknya yang berusia 16 tahun. – KOSMO! ONLINE