KOTA BHARU – Tiga lelaki maut selepas motosikal yang mereka tunggang berlanggar sesama sendiri ketika dipercayai menyertai aktiviti lumba motosikal haram di Kilometer 9.9, Lebuh Raya Ketereh-Kota Bharu di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, ketiga-tiga mangsa yang bekerja sendiri berusia 19 dan 21 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, kemalangan tersebut melibatkan tujuh kenderaan iaitu enam motosikal dan sebuah kereta yang berhenti di laluan kecemasan.
Menurutnya, siasatan mendapati, sekumpulan lelaki menunggang motosikal mereka dalam kelajuan tinggi dari arah Ketereh menghala ke Kota Bharu
“Semasa tiba di lokasi kejadian, dua buah motosikal berlanggar sesama sendiri selepas dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal yang telah terjatuh di atas jalan raya.
“Kejadian itu menyebabkan dua motosikal tersebut dirempuh oleh empat motosikal dari belakang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, salah sebuah motosikal turut melanggar belakang sebuah kereta yang berhenti berada di laluan kecemasan sebelah kiri menghala ke Kota Bharu.
Menurutnya, tiga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, di sini untuk dibedah siasat.
“Tiga lagi penunggang motosikal yang parah dirawat di zon merah Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, manakala pemandu sebuah kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan mendapati, nahas berpunca daripada sikap mangsa yang menunggang motosikal pada kelajuan tinggi sehingga tidak dapat bertindak awal dan sukar melihat dalam suasana gelap,” ujarnya.
Tambah Mohd. Rosdi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE