KUALA LUMPUR – Bicara kes saman fitnah Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir terhadap ahli perniagaan kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman berhubung fitnah hutang pelaburan puluhan juta ringgit ditetapkan pada Januari 2026.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh menetapkan 6 hingga 8 Januari 2026 sebagai tarikh bicara pada pengurusan kes itu hari ini.
Mahkamah turut menetapkan 5 Julai ini bagi pengurusan kes sebelum perbicaraan bermula.
Terdahulu, semasa prosiding, peguam T. Dheenish yang mewakili Abdul Kadir selaku plaintif berkata, anak guamnya akan memberi keterangan pada perbicaraan kes saman itu.
“Kemungkinan pihak plaintif akan memanggil beberapa saksi daripada portal berita yang menerbitkan dakwaan defendan (Aliff Syukri) yang dimuat naik di Instagram dan Facebook milik defendan,” kata peguam itu.
Sementara itu, peguam Mohd. Tajudin Abd Razak yang mewakili Aliff Syukri berkata, pihaknya akan mengemukakan dua saksi iaitu anak guamnya dan isteri, Datin Seri Nur Shahida Mohd. Rashid untuk memberi keterangan.
Abdul Kadir, 84, memfailkan saman pada 6 September 2023 dengan mendakwa Aliff, 37, yang terlibat dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut ramai di media sosial mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif di Instagram dan Facebook pada 2 Julai 2023.
Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan itu mendakwa kenyataan tersebut membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan berjuta ringgit selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan itu mengundang komen negatif daripada pembaca.
Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah selain perintah supaya defendan memberikan aku janji bertulis untuk tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di akaun media sosial defendan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah ini.
Aliff Syukri pula menerusi pernyataan pembelaannya mendakwa beliau telah membuat bayaran pelaburan sebanyak RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usahasama bertarikh 26 November 2018 yang melibatkan plaintif, defendan serta dua syarikat.
Dakwanya, pihak-pihak di dalam perjanjian usahasama gagal membuat pembayaran wang yang telah dilaburkan selain segala pelanggaran-pelanggaran janji sedemikian termasuklah akujanji yang diberikan plaintif kepadanya adalah di dalam pengetahuan plaintif sendiri. – KOSMO! ONLINE