PETALING JAYA – Bagi mengimarahkan suasana malam raya, Ketua Pramugara Air Asia, Syafrie Izwan Wahab tidak melepaskan peluang untuk memimpin takbir raya ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah (AK5751) sejurus mendapat tahu Aidilfitri bakal disambut keesokan harinya.
Syafrie, 36, yang sudah berkhidmat hampir 14 tahun bersama syarikat penerbangan kos rendah tempatan itu menzahirkan rasa sebak apabila diberi peluang buat pertama kali memimpin takbir raya bersama-sama kira-kira 188 penumpang di dalam pesawat tersebut.
“Ya, ia merupakan pengalaman pertama saya bertakbir dalam pesawat bersama penumpang. Biasanya takbir atau talbiah dibuat dalam pesawat sewaan khas haji atau umrah dan saya tak pernah buat penerbangan tersebut,,” kongsinya kepada Kosmo! hari ini.
Menurut Syafrie, dia tidak sangka sambutan dalam kalangan penumpang sangat memberangsangkan apabila hampir kesemua penumpang Muslim turut bertakbir bersama dan rata-rata mereka seronok kerana dapat meraikan kehadiran Syawal meskipun berada di awan biru.
“Momen indah adalah apabila penumpang turut berasama-sama bertakbir ketika penerbangan dan yang paling manis adalah ketika penumpang turun dari pesawat, ramai penumpang Muslim berterima kasih atas pengalaman bertakbir tersebut, ada yang siap bagi duit raya pada saya dan krew lain.
“Ada seorang penumpang bukan islam, berbangsa Cina turut berkata yang dia suka mendengar takbir raya tersebut dan terasa kemeriahan raya dalam pesawat,” katanya.
Katanya, video yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu dirakam sekitar pukul 8.30 malam, 9 April setelah pasukannya dimaklumkan bahawa esok iaitu 10 April merupakan 1 Syawal.
“Kami dimaklumkan setelah kapten menghubungi pusat kawalan trafik udara (ATC) di ruang udara Sarawak.
“Saya dan krew penerbangan diarahkan untuk melaksanakan aktiviti dalam pesawat bersempena Aidilfitri dan aktiviti balik kampung. Kebetulan, malam tersebut merupakan malam pengumuman Aidilfitri. Jadi saya cadangkan untuk bertakbir raya bersama penumpang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE