JAKARTA – Polis Indonesia menyaman seorang pemandu ambulans kerana memandu secara melulu serta membunyikan siren walaupun tidak membawa pesakit, lapor laman berita Tribunnews.
Kejadian berlaku di Jalan Jeneral Sudirman, Kota Solo, wilayah Jawa Tengah pada Selasa minggu lalu.
Dalam video yang tular di media sosial, polis mengarahkan pemandu ambulans itu supaya berhenti selepas dia melanggar lampu isyarat merah.
Hasil pemeriksaan mendapati pemandu tersebut tidak membawa pesakit meskipun membunyikan siren dan memandu secara tergesa-gesa.
Forum Ambulans Sukoharjo Bersatu (FAST) yang merupakan pengendali ambulans itu mengesahkan kejadian tersebut.
Menurutnya, pemandu terbabit mengaku dia ketika itu tidak berada dalam situasi kecemasan, namun tetap membunyikan siren dan melanggar peraturan lalu lintas.
Ujar FAST lagi, pihaknya telah menjalankan siasatan ke atas pemandu berkenaan dan mengingatkannya supaya mematuhi peraturan penggunaan ambulans di jalan raya. – AGENSI