fbpx

Ruang udara dibuka semula, pengembara diingat peka jadual penerbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri menasihatkan pengembara dari Malaysia supaya sentiasa peka dengan kemungkinan gangguan jadual penerbangan susulan pembukaan semula ruang udara Iraq, Iran, Jordan dan Lubnan.

Berikutan itu, kementerian itu menyarankan pengembara Malaysia untuk merancang perjalanan dengan sewajarnya selain kekal berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan di negara-negara tersebut.

“Kerajaan Iran, Iraq, Jordan dan Lubnan mengumumkan pembukaan semula ruang udara dan penyambungan operasi penerbangan di negara masing-masing.

“Dijangkakan terdapat kemungkinan kelewatan penerbangan apabila operasi disambung semula secara berperingkat dan disesuaikan dengan protokol baharu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada Ahad lalu, Iraq membuka semula ruang udara selepas beberapa jam ditutup selepas jirannya iaitu Iran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu terhadap Israel.

Negara jiran Iraq adalah Jordan, Lubnan dan Israel turut membuka semula ruang udara mereka pada hari sama.

Pihak berkuasa penerbangan awam Iraq memaklumkan pembukaan semula ruang udara dan penyambungan semula perkhidmatan penerbangan di lapangan terbang negara itu  mengambil kira penilaian risiko keselamatan terhadap pesawat penerbangan awam.

Terdahulu, Malaysia Airlines turut mengubah laluan penerbangan antara Kuala Lumpur dan London untuk mengelak ruang udara Iran berikutan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.

MAS, Air India, Qantas Australia serta syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa adalah antara syarikat penerbangan pertama yang mengubah laluan penerbangan buat sementara waktu kerana bimbang Iran akan menyerang Israel. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI