PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon permohonan semakan keputusan yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya didengar dan diputuskan oleh lima hakim Mahkamah Rayuan.
Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Yasin, 77, difahamkan mengemukakan permohonan tersebut sewaktu pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar, Mohd. Khairi Haron hari ini.
Bagaimanapun Presiden Bersatu itu diminta untuk mengemukakan permohonan terbabit secara bertulis kepada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.
Justeru mahkamah kemudian menetapkan 9 Julai ini untuk pendengaran semakan tersebut.
Pada tarikh sama, mahkamah turut akan mendengar bantahan awal oleh pihak pendakwaan yang dinamakan sebagai responden.
Pada 28 Februari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S.M. Komathy Suppiah memutuskan agar keempat-empat pertuduhan itu ‘dihidupkan semula’ selepas mendapati Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah terkhilaf apabila membatalkan kesemua pertuduhan itu.
Muhyiddin memfailkan permohonan semakan tersebut pada 29 Februari lalu atas alasan antaranya dalam mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi, panel tiga hakim itu telah memutuskan bahawa empat pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (ASPRM) 2009 yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu adalah jelas.
Oleh itu, tidak ada keperluan bagi pihak pendakwaan untuk menyatakan cara atau memberikan butiran lanjut tentang bagaimana kesalahan itu dilakukan.
Dalam keputusan Mahkamah Tinggi di sini bertarikh 15 Ogos 2023, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Muhyiddin selepas mendapati keempat-empat pertuduhan berkenaan adalah cacat, tidak berasas dan tidak jelas.
Ia apabila mahkamah berpuas hati, pertuduhan yang dihadapi Presiden Bersatu itu tidak mendedahkan butiran kesalahan yang dilakukan menyebabkan tertuduh tidak dapat menyediakan arahan selanjutnya kepada peguam yang mewakilinya.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk suapan masing-masing RM200 juta, RM1juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta, kesemuanya berjumlah RM232.5 juta yang diterima daripada tiga buah syarikat dan seorang individu bagi Bersatu.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021. – KOSMO! ONLINE