fbpx

KL20 Summit pacu pertumbuhan sektor elektrik, elektronik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rafizi (dua dari kiri) pada majlis pelancaran awal KL20 Summit di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – Penganjuran KL20 Summit di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 dan 23 April ini dilihat bakal menjadi platform yang mengukuhkan kedudukan negara dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), terutamanya melibatkan inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Dianjurkan oleh Kementerian Ekonomi Malaysia, acara ber­kenaan menghimpunkan syarikat pemula, pelabur dan pe­mimpin industri untuk memupuk inovasi, kerjasama dan pertumbuhan ekosistem syarikat pemula di Malaysia.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ketika Malaysia telah bertapak kukuh dalam aktiviti penting industri E&E melibatkan pemasangan dan ujian, keper­luan untuk kemajuan kini semakin jelas, terutamanya ketika melihat ke arah aktiviti bernilai lebih tinggi termasuk reka bentuk, fabrikasi dan komponen bernilai tinggi.

“Kesedaran ini bukan baharu, tetapi persoalan pentingnya adalah sama ada kita berpuas hati untuk mengekalkan status quo, atau bersedia mengatasi keupayaan semasa?

“Kertas tindakan KL20 Summit berfungsi sebagai pelan hala tuju strategik untuk mendaki ke tahap baharu.

“Ia menyeru penyelidik, penggubal dasar dan ketua industri untuk bersatu dan mengubah landskap kita.

“Kami membayangkan ekosistem yang berkembang maju di mana kreativiti ditanam, kemudahan dimanfaatkan sepenuh­nya potensi mereka dan bakat dibangunkan untuk merintis R&D,” katanya dalam hantaran di media sosial semalam.

Kerajaan memainkan peranan kritikal dalam memupuk persekitaran yang kondusif untuk syarikat pemula di Malaysia dan inisiatif seperti KL20 Summit bertujuan melonjakkan Malaysia ke kedudukan 20 teratas dalam ekosistem syarikat pemula global menjelang 2030.

Usaha kerajaan untuk ­menyelaraskan kawal selia, menggalakkan pengurusan sumber yang cekap dan mempermodenkan perkhidmatan awam kini menghasilkan persekitaran yang menyokong syarikat pemula untuk berkembang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, pihaknya telah membangunkan Pelan Hala Tuju Ekosistem Pemula Malaysia (Super) yang berfungsi sebagai pelan tindakan untuk memacu ekosistem syarikat pemula negara ke tahap yang lebih tinggi sebagai hab serantau.

“Super memberi tumpuan pada bidang kritikal seperti pembangunan insan, akses kepada pembiayaan, memastikan akses kepada pasaran, dan memacu inovasi dalam teknologi serta impak sosial,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI