ALOR SETAR – Kemelut yang melanda Sang Kenari hampir selesai apabila pengurusan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berjaya mengumpul 90 peratus dana untuk melunaskan tunggakan gaji pemainnya bagi tujuan pelesenan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Pemilik kelab itu, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, pihaknya kini hanya perlu memperoleh 10 peratus lagi dana untuk menyelesaikan sepenuhnya baki 50 peratus tunggakan tersebut sebelum pukul 5 petang, 20 April ini
“Berkenaan liabiliti semasa KDA FC, pihak pengurusan KDA FC sudah mencapai peringkat akhir penyelesaian tunggakan kewangan 2023 dan penyelesaian penuh tunggakan sebelum 20 April bagi memenuhi syarat untuk mengekalkan lesen kebangsaan bagi bertanding dalam Liga Malaysia musim ini.
“Sehingga pukul 3 petang ini, KDA FC berjaya mengumpul dana sebanyak 90 peratus bagi tujuan melunaskan baki 50 peratus hutang gaji yang tertunggak bagi tujuan perlesenan MFL,” katanya pada sidang akhbar di pejabat pengurusan KDA FA ,di sini hari ini.
Pada 5 April lalu, KDA FC dikenakan hukuman pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super musim 2024/25 dan denda RM50,000 kerana kegagalan membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji 2023 pemainnya.
Menurut Mohd Daud, pihaknya optimis baki dana yang diperlukan itu mampu dikumpul daripada hasil jualan produknya seperti pas bermusim dan cenderahati termasuk jersi yang dikeluarkan pasukan itu.
Di sebalik keyakinan itu, katanya, pengurusan Sang Kenari itu tetap merencanakan pelan lain sekiranya dana tersebut gagal dikumpul dalam masa terdekat demi memastikan pasukan itu tetap berakhir dalam musim baharu ini.
“Kita harap mereka melanggan semua produk kita. Kita tidak mahukan wang tunai atau derma kita, itu bukan cara profesional. Kita mahu mereka membeli dan membantu pasukan.
“Hidupkan budaya setiap bulan membeli dengan harga RM30 atau RM40. Berdasarkan data yang kita ada, terdapat 20,000 penyokong tegar di Kedah kalau kali dengan kalau dapat setiap bulan beli RM50 itu sudah membantu,” katanya. – KOSMO! ONLINE