RAUB – Pengawal peribadi yang parah terkena tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Ahad lalu sempat berpesan kepada isterinya, Siti Noraida Hassan, 38, agar tidak memaklumkan insiden itu kepada ibu mentuanya.
Ibu mentuanya, Siti Hajar Hamid, 65, berkata, biarpun kejadian berdarah itu berlaku pukul 1.20 pagi, namun dia hanya dimaklumkan mengenainya kira-kira tujuh jam kemudian. .
“Menantu makcik (Muhammad Nur Hadith) cukup baik. Dia tahu kalau makcik tahu mesti makcik resah dan tidak boleh tidur.
“Sebaik dimaklumkan oleh ahli keluarga, makcik rasa terkejut dan sedih, tambahan pula dia sekeluarga baru pulang ke Raub untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya di sini hari ini.
Siti Hajar berkata, dia berdoa agar menantunya kembali sihat dan bekerja seperti biasa kerana isteri dan tiga anaknya bergantung harap kepada Hadith sebagai ketua keluarga.
Dia juga berharap agar anaknya kekal tenang tambahan pula wanita itu bakal melahirkan cahaya mata baharu tidak lama lagi.
“Adik (panggilan untuk Siti Noraida) disahkan mengandung anak keempat. Usia kandungannya cecah dua bulan. Anak sulung mereka pula orang kelainan upaya (OKU) terlantar dan memerlukan penjagaan rapi,” katanya.
Tambahnya, kejadian itu memberi kesan trauma kepada keluarga mereka tambahan pula selepas pemergian arwah suaminya pada Syawal 2022.
“Arwah suami aya meninggal dunia akibat serangan jantung pada Jun 2022 ketika sambutan Aidilfitri. Kali ini kegembiraan hari raya keluarga kami sekali lagi ‘diragut’ apabila Hadith parah akibat terkena tembakan,” ujarnya.
Oleh itu, wanita itu menuntut keadilan yang sewajarnya dan pelaku dikenakan hukuman yang setimpal. – KOSMO! ONLINE