KOTA BHARU – Hafizul Harawi, 38, lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, direman tujuh hari sehingga Isnin depan.
Perintah reman yang bermula hari ini dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid di Mahkamah Majistret di sini.
Perintah tahanan reman itu bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Terdahulu, Hafizul yang memakai baju lokap berwarna ungu dan berpelitup muka tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu kira-kira pukul 8.27 pagi dengan dikawal ketat oleh anggota polis.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/04/hafizul-harawi-kes-tembak-KLIA.jpeg)
Kosmo! Online semalam melaporkan, Hafizul Harawi, 38, ditahan di Kota Bharu semalam selepas 36 jam diburu polis.
Terdahulu, dalam kejadian di KLIA1, seorang lelaki telah melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena seorang pengawal peribadi dalam kejadian pukul 1.20 pagi kelmarin.
Wanita yang menjadi sasaran dalam insiden itu terselamat dan pihak polis memaklumkan kejadian bermotifkan perihal peribadi. – KOSMO! ONLINE