PUTRAJAYA – Pengawal peribadi yang terkena tembakan dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 selamat menjalani pembedahan di Hospital Cyberjaya pada pukul 4.30 petang tadi.
Isteri mangsa, Siti Noraida Hassan, 38, berkata, suaminya Muhammad Nur Hadith selesai menjalani pembedahan pada bahagian usus kira-kira lima jam selepas dimasukkan ke dewan bedah pada pukul 11.30 pagi tadi.
Katanya, pihak hospital akan melakukan pemantauan kesihatan usus suaminya itu bagi tempoh lima hingga enam hari.
“Buah pinggang mungkin perlu menerima rawatan dialisis untuk sementara waktu, limpa ada sedikit kecederaan.
“Doakan suami saya sihat sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi tadi.
Dalam pada itu, Siti Noraida memaklumkan, keadaan suaminya ketika ini adalah masih ditidurkan.
Ahad lepas, seorang lelaki telah melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena seorang pengawal peribadi dalam kejadian pukul 1.20 pagi itu.
Wanita yang menjadi sasaran dalam insiden itu terselamat dan pihak polis memaklumkan kejadian bermotifkan perihal peribadi antara suspek dan isterinya.
Semalam, suspek yang cuba membunuh isterinya dengan melepaskan tembakan di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1, Hafizul Harawi, 38, ditahan di Kota Bharu selepas 36 jam diburu polis. – KOSMO! ONLINE