PELUMBA berpengalaman negara, Azroy Hakeem Anuar tekad melupakan kekecewaan sewaktu perlumbaan pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Buriram, Thailand bulan lalu apabila berputih mata gagal mengutip sebarang mata.
Azroy yang beraksi dalam saingan SuperSports 600cc bersama pasukan Idemitsu Boon Siew Honda Racing Team kecewa tetapi tidak patah semangat untuk bangkit pada perlumbaan di Litar Antarabangsa Zhuhai, China hujung minggu ini.
Tegas Azroy, dia mempunyai keyakinan pada pasukannya untuk menyediakan jentera terbaik kerana tahun lalu dia melakar kemenangan 1-2 bersama rakan sepasukannya, Muhammad Helmi Azman.
“Sudah pasti misi saya di China untuk berada di podium dan meraih kemenangan agar mampu mengutip sebanyak mata di sana. Tahun lalu kami mempunyai data yang baik di Litar Zhuhai kerana saya melakar kemenangan dan memberi keyakinan untuk bangkit.
“Tetapi saya tidak boleh terlalu yakin kerana pencabar yang lain tahun ini boleh dikatakan sengit dan pelumba muda juga semakin meningkat naik.
“Oleh itu, saya mahu lupakan kekecewaan di Thailand dan bangkit mencipta kemenangan di bumi China,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ketika ditanya mengenai kekurangannya ketika ini, Azroy mengakui berdepan masalah pada jentera terutama di laluan lurus hingga menyukarkannya mengejar pelumba hadapan.
“Jentera kami tidak begitu kompetitif jika dibandingkan dengan pencabar lain yang berkelebihan di laluan lurus. Kita cuma kalah dari segi top speed.
“Saya yakin kami dapat mengejar mereka kerana litar selepas ini tidak banyak laluan lurus dan memberi kelebihan kepada kami,” jelasnya.