fbpx

Tiga pelumba selangkah lagi ke Paris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IZZAH bakal mengikut jejak Fatehah sekiranya membuat penampilan pada Olimpik Paris 2024.

BERITA gembira buat kontinjen Malaysia apabila tiga pelumba berbasikal trek diketuai pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang secara tidak rasmi layak beraksi pada Sukan Olimpik ­Paris 2024.

Selain Azizulhasni, dua lagi wakil negara iaitu Muhammad Shah Firdaus Shahrom dan pelumba wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri bakal menjejak kaki ke temasya berprestij dunia tersebut.

Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN, Datuk Amarjit Singh Gill memaklumkan ketiga-tiga atlet berkenaan bakal bersaing dalam acara sprint dan keirin di Paris 2024 selepas ­tamat kelayakan terakhir di Milton, Kanada semalam.

“Sudah pasti ini adalah berita gembira buat peminat-peminat berbasikal negara apabila selain Datuk Azizulhasni dan Shah Firdaus, kemungkinan Nurul Izzah turut berada di Paris nanti.

“Nurul Izzah layak Olimpik Paris berdasarkan kutipan mata kelayakan selepas menamatkan Kejohanan Piala Negara-­Negara Union Cycliste di Kanada. ­Keputusan akhir kelayakan ke Paris 2024 akan dikeluarkan tidak lama lagi.

“Berdasarkan kiraan mata, tak mustahil Nurul Izzah mampu layak ke Paris. Apapun, kita akan ketahui senarai pada 22 April apabila Jawatankuasa ­Olimpik Antarabangsa mengeluar­kan senarai rasmi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Amarjit turut berbangga apabila Nurul Izzah akan mengekori jejak langkah seperti Fatehah Mustapa yang beraksi pada Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

“Jika layak, Izzah akan menjadi pelumba wanita seterusnya me­langkah ke Paris selepas Fatehah. Izzah masih muda, baru berusia 20 tahun dan ini adalah pendedahan terbaik buatnya.

“Ketiga-tiga pelumba kita yang bakal ke Paris akan bersaing dalam keirin dan sprint. Buat masa ini, kita mempunyai empat pelumba berbasikal ke Paris selepas Nur Aisyah Mohd. Zubir layak lebih awal menerusi acara berbasikal lebuh raya,” tambah­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI