HASRAT penjaga gol negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman mahu melengkapkan reputasinya selaku pemain paling bertuah untuk bermain di dua pentas Piala Asia.
Graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu dijangka memainkan peranan lebih besar bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) negara pada kempen Piala Asia B-23 di Qatar bermula Rabu ini.
“Semestinya duduk bersama senior seperti Azri Ghani dan Syihan Hazmi membolehkan saya dapat tunjuk ajar kerana mereka individu berpengalaman dalam bola sepak.
“Ini salah satu cabaran untuk saya bersaing, jadi lebih bagus dan cuba merebut tempat. Seperti yang semua tahu, saya pernah ke Qatar dengan skuad senior dan pengalaman itu akan dibawa ke dalam skuad B-23.
“Azim (Al Amin Kamarudin) berada pada prestasi terbaik. Jadi kemungkinan untuk bermain tetap sukar, tetapi saya tetap akan cuba sehabis baik untuk keluarga dan cuba bantu pasukan layak ke Sukan Olimpik,” katanya.
Skuad negara ‘berkampung’ di Qatar sejak dua minggu lalu dan dua aksi persahabatan berprofil tinggi menentang China dan tuan rumah sebelum ini memberi gambaran awal buat pengendali negara, Juan Torres Garrido sebelum bertemu Uzbekistan pada Rabu ini.
Keputusan positif bakal memberi petanda baik sebelum meneruskan saingan menentang Vietnam yang dianggap pasukan misteri, Sabtu ini sebelum menutup aksi Kumpulan D bertemu Kuwait pada 23 April.
“Dengan campuran pemain yang berlatih dengan skuad senior, saya rasa kita boleh berikan yang terbaik di peringkat Asia nanti,” jelas Sikh Izhan.