SINGAPURA – Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong akan menyerahkan jawatan kepada Lawrence Wong sekali gus bakal menjadikan timbalannya itu PM keempat negara tersebut, lapor akhbar South China Morning Post.
Wong, 51, menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 2022.
Selepas memulakan kerjayanya sebagai penjawat awam, Wong bukan pilihan asal untuk menjadi pengganti Hsien Loong.
Namun, kejayaannya sebagai ketua bersama pasukan petugas pandemik Covid-19 menjadikan beliau calon terbaik.
Beliau akan mengangkat sumpah pada pukul 8 malam (waktu tempatan), 15 Mei ini di Istana, demikian menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini.
“Timbalan Perdana Menteri Wong mendapat sokongan sebulat suara Ahli Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP),” katanya.
Sementara itu, dalam satu kenyataan di laman media sosial, Hsien Loong menyifatkan peralihan kepimpinan sebagai saat penting sambil menambah, Wong dan pasukannya telah bekerja keras untuk mendapatkan kepercayaan rakyat, terutamanya semasa pandemik Covid-19.
Wong dijangka mengetuai parti pemerintah, PAP dalam pilihan raya yang akan diadakan menjelang November 2025. – Agensi