ALOR GAJAH – Seorang penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Masjid Tanah dekat sini maut selepas motosikal yang dia tunggang terbabas di Jalan Lubok China, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang, mangsa, Muhammad Izzul Irsyad Muhammad Nizam, 30, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan perut.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Ashari Abu Samah berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha R15 dalam perjalanan dari arah Pekan Lubok China menghala ke Ramuan China Kechil.
Katanya, setiba di lokasi motosikal yang mangsa tunggang bagaimanapun telah hilang kawalan menyebabkan mangsa terjatuh lalu dilanggar sebuah kereta jenis Honda City dari arah bertentangan.
“Kita percaya nahas berlaku disebabkan faktor jalan licin kerana hujan lebat pada sebelah petang.
“Akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Difahamkan mangsa dalam perjalanan ke IKBN selepas pulang beraya di kampung halamannya di Pahang.
Tambah Ashari, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE