PETALING JAYA – Biarpun cuti Hari Raya Aidilfitri sudah berakhir dan rata-rata warga kota dijadual kembali bekerja hari ini, namun suasana jalan raya di sekitar Lembah Klang masih lengang.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati jalan raya lapang berbanding hari-hari biasa pada hari bekerja terutama Isnin.
“Macam ramai yang cuti hari ini. Jalan clear (lengang) tak jam (sesak),” kata Linda.
“Hari ini jalan clear lagi, sama ada masih sambung cuti ataupun MC (cuti sakit) atau EL (cuti kecemasan),” kata Reyhan.
“Cutilah masing-masing, Kalau bukan EL, MC untuk kesihatan mental masing-masing juga,” kata Afif.
“Esok (Isnin) aku cuti, biarlah tak ada senior pun. Orang postcall sepatutnya diberikan kelonggaran untuk cuti berehat,” kata Fifi.
Bagaimanapun, ada juga warga kota yang sudah kembali ke pejabat pada Jumaat lalu.
“Saya hari raya ketiga sudah kerja, susah jadi orang penting mengharap kita sahaja,” kata Meera.
“Raya ketiga sudah kerja masuk pukul 7 pagi balik pada pukul 4 dan sambung beraya lagi,” kata Syazwan.
Terdahulu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan berlakunya kesesakan teruk dari Plaza Tol Karak sehingga Plaza Tol Bentong dari petang semalam sehingga ke lewat pagi. – KOSMO! ONLINE